Selasa, November 18, 2008

TURKEY RELA JADI PERANTARA AMERIKA-IRAN

TURKEY telah melahirkan keinginannya untuk memainkan peranan sebagai perantara dalam membaiki hubungan antara pentadbiran baru Amerika Syarikat pimpinan Encik Barack Hussein Obama dengan Iran.

Dengan meluaskan lagi peranannya di rantau Timur Tengah, negara tersebut kini mahu merapatkan pula hubungan antara Timur dengan Barat.

Hal ini telah dijelaskan Perdana Menteri Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, dalam satu wawancara baru-baru ini.

ERA BARU OBAMA

Pemimpin Turkey tersebut berpendapat bahawa pemilihan Encik Obama selaku presiden baru Amerika membuka satu peluang baru bagi membaiki dan merapatkan hubungan antara Amerika Syarikat dengan Iran.

Selepas menang dalam pilihan raya presiden pada 4 November lalu, Encik Obama berkata bahawa beliau mungkin mengadakan rundingan dengan Iran.

Ini merupakan suatu langkah yang ditentang habis-habisan oleh Presiden George W. Bush.

Temu ramah itu telah dirakamkan sebelum Encik Erdogan berlepas ke Amerika untuk menghadiri satu persidangan antarabangsa yang membincangkan krisis ekonomi global.

Beliau berpendapat bahawa kawat ucap tahniah yang dihantar minggu lalu oleh Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad kepada Encik Obama adalah suatu langkah baik yang boleh digunakan sebagai satu asas bagi membaiki hubungan antara kedua- dua negara itu.

Amerika Syarikat dan sekutu utamanya di Eropah secara berterusan mendakwa bahawa Iran mahu membuat bom nuklear.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah menentukan corak sekatan yang akan dikuatkuasakan terhadap Iran jika didapati sah program nuklearnya.

Bagaimanapun, Iran masih terus menegaskan pendiriannya bahawa program nuklearnya adalah untuk tujuan damai iaitu menjana elektrik dan bukan digunakan untuk berperang.

Iran masih lagi pemeterai Perjanjian Mencegah Penularan Nuklear (NPT).

SEKATAN JADI HALANGAN

Yang menjadi masalah Turkey ialah pendirian negara-negara Barat yang mengenakan sekatan ekonomi ke atas Iran.

Dengan kejatuhan harga minyak pula, Iran di dalam keadaan tersepit. Turkey berpendapat sekatan itu dan kejatuhan harga minyak akan melemahkan reformasi politik di Iran yang kini dikuasai oleh golongan mullah yang tegar.

Encik Erdogan mengatakan bahawa pihaknya memantau rapi akan hubungan antara Iran dengan Amerika Syarikat.

Hujahnya, isu-isu dua hala perlu dihuraikan di meja rundingan dan bukan dengan kekuatan senjata.

Terdapat tuntutan Israel agar Amerika menyerang Iran atas dakwaan mempunyai senjata pemusnah besar-besaran - alasan serupa yang digunakan untuk menjatuhkan rejim Saddam pada 2003.

KESAN PERANG IRAQ

Para pengamat berkata sikap Turkey menunjukkan keprihatinan yang mendalam agar tiada lagi perang di Timur Tengah serupa di Iraq.

Sesudah lima tahun, kesan perang Iraq telah menimbulkan kegenjotan di rantau kaya minyak ini.

Iran pula dipercayai mempunyai pengaruh besar di rantau ini dan kesan serang balas terhadap apa jua tindakan ketenteraan Amerika boleh berlaku.

Dek sekatan Barat, Iran kian terpencil.

Oleh itu, ia mungkin lebih cenderung berbaik-baik dengan Russia yang baru-baru ini menunjukkan taringnya dengan menyerang Georgia.

Tindakan Russia itu dilakukan kerana menyekat pengaruh Amerika dan Barat di negara-negara bekas republik Soviet yang berjiran dengan Russia.

KEDUDUKAN BAIK

Encik Erdogan yakin bahawa pihaknya berada dalam satu kedudukan yang mantap untuk menggalakkan rundingan antara Washington dengan Teheran.

Selain menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Turkey juga anggota bergilir dalam Majlis Keselamatan PBB sejak Oktober lalu.

Sebagai negara majoriti Muslim (99 peratus daripada 72 juta rakyatnya), Turkey kian berusaha memperbaharui hubungannya dengan rantau Timur Tengah.

Ternyata ia telah mencatatkan beberapa kemajuan penting.

Misalnya, pada Mei lalu, Turkey menjadi perantara antara dialog Israel dengan Syria bagi membincangkan perdamaian.

Ini termasuklah isu Palestin yang masih membara dan kedudukan wilayah Bukit Golan yang diduduki negara Yahudi itu.

ADA KESANGSIAN

Namun, kalangan pengamat dan pegawai Barat sangsi akan kejayaan Turkey sebagai perantara itu.

Antara ciri utama perantara, kata para pengamat tersebut, ialah negara yang benar-benar tidak terlibat dan berkecuali.

Hakikatnya, hubungan Iran dengan Turkey juga rumit.

Kedua-dua negara tersebut yang berjiran mempunyai banyak persamaan dari segi kebudayaan warisan Islam.

Namun, kededuanya bersaing untuk mendapatkan pengaruh politik yang lebih luas di peringkat kerantauan di Timur Tengah dan Asia Tengah.

Walaupun Encik Erdogan berasal daripada mazhab Sunni, pemerintah Turkey masih bersifat sekular dari segi perlembagaan.

Iran dengan penduduk seramai 69 juta tetapi dengan saiznya yang dua kali lebih besar (1.6 juta kilometer persegi) berbanding Turkey merupakan negara majoriti Syiah terbesar di dunia.

Kalangan pegawai kanan Turkey mengakui bahawa pentadbiran Encik Erdogan perlu menghadapi pelbagai rintangan sebagai perantara antara Amerika dengan Iran.

Hal ini mencerminkan bahawa Turkey sendiri menghadapi dilema untuk menonjolkan kedudukannya sebagai negara sekular atau bercitra Islam.

Hakikatnya, sejak Encik Obama, yang bakal dirasmikan sebagai presiden ke-44 Amerika Syarikat pada 20 Januari depan, menegaskan ingin merombak dasar luar Amerika, termasuk kemungkinan berunding dengan Iran, tercetus semacam sinar harapan.

Kesanggupan Turkey sebagai perantara merupakan satu perkembangan yang membina.

Sekali bah, sekali pantai berubah. Begitulah dengan Amerika pimpinan Obama kelak, hujah kalangan pengamat.

TAMPIL IMEJ MODERAT

Turkey kian gigih menampilkan kedudukan sebagai negara Muslim sederhana sejak Parti Keadilan dan Pembangunan (singkatannya AKP) pimpinan Encik Erdogan berkuasa pada 2002.

Turkey telah menjadi tuan rumah kepada para ketua negara Muslim terutama Pertubuhan Muktamar Islam (OIC).

Presiden Ahmadinejad telah mengunjungi Ankara baru-baru ini.

Perdagangan Turkey dengan negara-negara di rantau Timur Tengah telah meningkat sebanyak 30 peratus sejak Encik Erdogan berkuasa.

Konsep dasar luar Encik Erdogan, menurut seorang pegawai kanannya, ialah berbaik-baik dengan semua pihak yang sanggup bersahabat.

PELUANG BAGI AMERIKA

Encik Erdogan yakin pemilihan Encik Obama bak menyerlahkan satu peluang bagi Amerika Syarikat meraih semula kepercayaan dunia dan cuba membaiki imej yang sudah lama tercemar.

Menurutnya, Amerika Syarikat telah mengisytiharkan beberapa nilai yang murni dan terpuji pada kurun ke-21.

Namun, malangnya negara itu tidak memajukan nilai-nilai yang telah diumumkan itu, malah berlaku sebaliknya



Oleh
Nahar Azmi Mahmud (cyberita)

0 ulasan: