Pemimpis PAS ingkari Mahkamah Syariah ?
Pasangan umat Islam yang mengingkari perintah Mahkamah Syariah supaya bermufarakah (tinggal berasingan) kesahihan perkahwinan mereka diragui boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kuty, berkata sepatutnya pasangan terbabit sedar bahawa perbuatan tinggal bersama selepas perintah dikeluarkan oleh mahkamah adalah salah daripada segi agama.
"Soal untuk bertindak terhadap mereka yang mengingkari sesuatu perintah mahkamah sepatutnya tidak berbangkit jika umat Islam mematuhi hukum agama,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai insiden malam tadi apabila rumah bekas Ketua Penerangan Pemuda Pas Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kadir, “dikepung” oleh keluarga isteri keduanya yang mengesyaki pasangan tersebut masih tinggal bersama walaupun diperintah Mahkamah Syariah supaya tinggal berasingan kerana kesahihan perkahwinan mereka diragui.
Bagaimanapun, pasangan berkenaan tidak dapat ditahan oleh pihak penguatkuasa Penyelia Agama Islam kerana gagal mendapat waran tangkap atau geledah daripada daripada pihak berwajib.
Pada 21 Dis lepas Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu telah mengarahkan mereka tinggal berasingan sementara (mufarakah) kerana meragui perkahwinan mereka yang dikatakan dilakukan oleh satu sindiket di sebuah masjid di Selangor. - Bernama


