Rabu, November 12, 2008

Beri Keadilan kepada Sheikh Muszaphar



Profesor Cabuk


Saudara Pengarang, Saya terpanggil untuk membincangkan topik mengenai Angkasawan Negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang dikatakan mengumpulkan wang RM1.2 juta di atas 'keuntungan' memberikan ceramah sebagaimana yang akhbar tuan paparkan.

Saya tidak bertujuan untuk menyanggah dakwaan wartawan terbabit. Benarkah Sheikh Muszaphar mengaut keuntungan yang banyak? Benarkah Sheikh Muszaphar meminta jumlah bayaran sehingga RM8000 sekali ceramah?


Angka mencecah jutaan ringgit tidak dapat dibuktikan dan saya harap pihak tuan tidak membuat tuduhan yang melulu.
Pada saya tidak wajar Sheikh Muszaphar dipersalahkan semata-mata jika dia mengenakan bayaran ceramah, sebelum pihak saudara pengarang menuduh sebegitu, harus juga dikaji mengapa keadaan itu berlaku (jika ianya benar).


Saya bukan hendak berhujah di sini. Saya cuma ingin mengajak pembaca berfikir, jika benar Sheikh Muszaphar dibayar atau meminta bayaran kepada penganjur ceramahnya, mengapakah keadaan jadi sebegitu.
Bukankah beliau merupakan kakitangan kerajaan yang digunakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) untuk menyampaikan pengalaman, motivasi kepada rakyat?
Bagi saya pengalaman beliau penting untuk memberi motivasi kepada anak-anak bangsa kita.
Setahu saya Sheikh Muszaphar tidak pernah bercakap soal politik dalam ceramahnya. Beliau pun bukannya orang politik. Beliau hanyalah seorang anak muda, yang menyahut seruan kerajaan menyertai program angkasawan, semata-mata untuk mengharumkan nama negara.
Saya adalah pensyarah sebuah IPT yang turut terbabit dengan Mosti dan membuat kajian mengenai angkasa lepas. Program ini bukannya berstatus sampingan atau program anak angkat.
Ianya adalah antara projek kerajaan yang besar. Program menghantar warga Malaysia ke angkasa lepas merupakan suatu projek sains dan teknologi yang amat penting serta menelan belanja yang besar.


Saya difahamkan pihak Mosti sebelum ini ada mewujudkan sebuah yayasan untuk membiayai program Sheikh Muszaphar. Bukan beliau sahaja, malah bakal angkasawan Mejar Dr Faiz Khalid dan dua lagi peserta program ini termasuk dalam perancangan kerajaan.
Jika benar bapa Sheikh Muszaphar mendakwa anak beliau tidak mempunyai kewangan yang cukup, terpaksa membayar gaji pemandu sendiri, ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku di sini.
Apa sudah jadi dengan yayasan ini? Mengapa usaha sebesar ini tidak diteruskan? Apakah program kerajaan selesai dengan menghantar seorang dua rakyat ke angkasa lepas, selepas itu masa depannya diabaikan?
Saya utarakan persoalan ini kerana saya melihat ada kelemahan kerajaan dalam melaksanakan program ini. Kemungkinan juga ianya adalah kelemahan pegawai kerajaan yang terbabit di Mosti.

Menteri yang menjaga Mosti sekarang ialah Dato' Dr Maximus Ongkili selepas Dato' Seri Dr Jamaluddin Jarjis tidak dilantik semula. Menteri bertukar, tetapi pegawai-pegawai kerajaan tetap sama.
Apakah wujud pengabaian Mosti kepada Sheikh Muszaphar? Apakah ada unsur-unsur sabotaj dari kalangan pegawai kerajaan terhadap angkasawan kita?
Tidak wajar apabila wujud sahaja dakwaan Sheikh Muszaphar mengenakan bayaran, Mosti hendak membuat siasatan.
Walhal, yang harus disiasat ialah pegawai Mosti sendiri. Mengapa mereka mengabaikan kebajikan angkasawan. Kelihatannya seperti Mosti mengkesampingkan program sebesar ini.
Apakah menteri yang bertanggungjawab, atau pegawai-pegawai berkenaan tidak mahu menjalankan program ini kerana ia diilhamkan oleh menteri sebelum ini.
Apakah dasar dan program kerajaan bertukar, hanya dengan penukaran menteri? Jika kerajaan bertukar dari Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat, saya fikir rakyat boleh terima jika dasarnya bertukar.
Tetapi penukaran ini sesama BN, apa sudah jadi dengan kerajaan. Jika Perdana Menteri menukar menteri yang menjaga sesebuah kementerian, mestilah dengan tujuan untuk penambahbaikan atau menjadi lebih baik.

Saya fikir ramai yang akan bersetuju dengan saya, dalam isu angkasawan ini, Mosti kelihatan bukan sahaja mengabaikan malah seolah-olah tidak memperdulikan langsung Sheikh Muszaphar dan rakan-rakannya yang lain.

Jika ini berlaku, saya bimbang projek menghantar Mejar Faiz ke angkasa lepas hanya akan menjadi impian kosong sahaja.
Oleh itu saya menyeru semua pihak supaya melihat isu ini secara positif, jangan memaparkan perkara-perkara negatif untuk memburuk-burukkan pihak tertentu.
Jika Sheikh Muszaphar melakukan kesilapan beliau harus ditegur dan diperbetulkan. Jika Mosti silap, kerajaan wajar merombaknya segera! - mr_




Sumber Harakahdaily.

0 ulasan: