Ahad, Disember 28, 2008

Bolehkan orang islam jadi Liberal




Saya sering ditanya oleh rakan-rakan dua soalan: "Bolehkah orang Islam jadi liberal?" dan "Bagaimana mungkin seorang ahli PAS menyokong fahaman liberal? Bukankah Islam itu sudah lengkap?"Kedua-dua soalan ini menunjukan betapa ramai yang terkeliru dengan maksud perkataan ‘liberal’.Tidak mudah untuk menghurai kekeliruan mengenai fahaman liberalisme.

Namun, dalam artikel pendek ini, saya akan cuba menjelaskan erti liberalisme yang saya fahami dan kenapa saya tidak nampak percanggahan antara akidah Islam dan juga fahaman liberal. Sebelum itu, saya perlu membuat satu penjelasan yang penting. Perkataan ‘liberal’ kerapkali disalahgunakan hinggakan penggunaannya kadangkala lari daripada maksud sebenarnya.

Di Amerika Syarikat, perkataan liberal telah dicuri oleh mereka yang menyokong campur tangan kerajaan dalam hal-ehwal peribadi rakyat (contohnya Parti Demokrat). Di Malaysia pula, jika disebut sahaja perkataan ‘liberal’, maka biasanya yang datang dalam fikiran ialah ‘Islam liberal’. Saya tidak termasuk dalam kedua-dua kelompok ini. Saya seorang yang berpegang dengan falsafah liberalisme klasik, atau di Amerika, biasanya ia dipanggil falsafah libertarianisme. Untuk mengelak lebih banyak salah faham, maka saya akan menggunakan perkataan libertarian dalam artikel ini.

Kedaulatan undang-undang Liberalisme klasik atau libertarianisme bukan satu falsafah baru. Prinsip asas libertarianisme ialah keyakinan terhadap adanya satu “peraturan tertinggi” dan prinsip ini boleh dikesan dalam falsafah lama Yahudi dan Greek purba. Prinsip ini bermaksud semua manusia, daripada pemerintah kepada yang diperintah, tertakluk kepada sebuah peraturan yang sama.

Kedatangan Islam pula telah mengukuhkan keyakinan terhadap prinsip “peraturan tertinggi” yang diteroka sejak sebelum zaman Nabi Musa lagi. Malahan Islam dengan jelas mengajar bahawa mereka yang berkuasa tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kuasa mereka untuk memaksa rakyat mengikut telunjuk mereka. Pemerintah juga tertakluk kepada undang-undang.

Libertarianisme tidak menyeru kepada pemansuhan atau pengabaian terhadap peraturan dan undang-undang. Sebaliknya, libertarianisme adalah satu panggilan agar semua manusia mematuhi undang-undang yang sama tanpa pengecualian kerana wujudnya kedaulatan undang-undang. Konsep ini adalah perlindungan terbaik daripada kediktatoran dan totalitarianisme. Jika tidak wujud kedaulatan undang-undang, maka yang berdaulat adalah manusia. Perampasan kedaulatan undang-undang oleh segelintir manusia yang memerintah akan membolehkan mereka memaksa rakyat hidup mengikut telunjuk mereka. Sekiranya prinsip asas libertarianisme ini tidak dihiraukan, maka akan wujudlah totalitarianisme seperti di negara-negara komunis dan fasis yang pastinya tidak Islamik.

Kerajaan terhad
Pemerintah mempunyai kuasa untuk memaksa masyarakat bawahan tunduk kepada mereka dengan menggunakan akta-akta parlimen, peraturan, undang-undang, tentera, polis dan sebagainya.

Pendek kata, wujud ketidaksamarataan kuasa antara rakyat dengan pemerintah. Untuk memastikan pemerintah tidak menyalahgunakan kuasa mereka, maka kuasa kerajaan perlu dihadkan. Tanpa had yang jelas, kerajaan berkuasa penuh untuk meluluskan undang-undang dan akta-akta yang mengongkong kehidupan manusia, seterusnya melahirkan satu sistem yang tidak ubah seperti kediktatoran.

Prinsip kerajaan terhad ini juga satu prinsip yang penting dalam libertarianisme. Kuasa kerajaan terhasil daripada amanah yang diberikan oleh rakyat. Tetapi kerajaan boleh menjadi terlalu berkuasa sehingga ia mencengkam dan membahayakan rakyat itu sendiri terutamanya apabila kerajaan meluluskan peraturan-peraturan yang memaksa rakyat taat dan patuh kepada mereka.

Untuk menghadkan kuasa kerajaan dan menghalang mereka daripada menjadi diktator, maka negara-negara biasanya mempunyai perlembagaan yang memperincikan dan memperjelaskan sempadan antara hak kerajaan dan hak rakyat.

Sebagai seorang Muslim, saya menentang sepenuhnya konsep kediktatoran dan pemusatan kuasa. Islam tidak mempunyai kuasa pentadbiran berpusat dan dengan itu Islam mempertanggungjawabkan penganutnya untuk memilih cara hidup yang terbaik, dan menganjurkan agar penganutnya menuntut ilmu agar mereka boleh membuat keputusan yang tepat.

Inilah sebabnya saya juga yakin bahawa pemerintah mestilah memperkuasakan rakyat untuk membuat keputusan yang terbaik dan tidak memaksa rakyat patuh kepada keputusan-keputusan yang dibuat oleh pemerintah sahaja. Individu merdekaApabila kuasa sesebuah kerajaan dihadkan, maka setiap individu rakyat menjadi merdeka untuk memilih apa yang terbaik dalam kehidupan mereka selagi mana mereka tidak melakukan keburukan terhadap orang lain.

Libertarianisme melihat individu sebagai elemen paling asas dalam masyarakat kerana perkumpulan individu-individu inilah yang akhirnya membentuk sesebuah masyarakat. Setiap individu merdeka boleh memilih apa yang terbaik untuk mereka, berdasarkan pengetahun mereka sendiri. Prinsip individu merdeka ini selaras dengan keyakinan kita bahawa Islam datang untuk memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia agar seseorang Muslim itu boleh menghambakan diri kepada Allah semata-mata. Menafikan kemerdekaan individu seolah-olah menafikan satu anugerah yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia.

Sebagai seorang Muslim, saya melihat mereka yang memperhambakan manusia lain seolah-olah cuba merampas tempat Allah dalam kehidupan manusia.Setiap individu mestilah menghormati maruah individu lain tanpa mengira agama, bangsa atau jantina mereka – maksudnya, kita perlu menghormati perbezaan antara satu individu dengan individu lain. Konsep individu merdeka juga bermaksud setiap individu mempunyai hak dan tanggungjawab, seperti hak untuk dihormati oleh orang lain, dan tanggungjawab untuk menghormati orang lain.

Paling penting, konsep individu merdeka bermaksud kerajaan tidak boleh masuk campur dalam hal-hal peribadi seseorang rakyat. Selagi mana individu tersebut tidak melakukan keburukan terhadap orang lain, selagi itulah kerajaan tidak boleh masuk campur. Pasaran bebasMemang diketahui umum bahawa seorang libertarian biasanya menyokong pasaran bebas. Tetapi terdapat banyak salah faham mengenai sebab kami menyokong pasaran bebas. Terdapat dakwaan bahawa kami menyokong pasaran bebas kerana kami tidak mempedulikan nasib golongan miskin dan kami mahu membiarkan wujudnya jurang antara kaya dan miskin.

Tuduhan liar ini salah sama sekali. Sebenarnya libertarian menyokong pasaran bebas kerana hanya sistem ini sahajalah yang boleh menjamin maruah individu dihormati. Pasaran bebas membolehkan setiap individu memilih sendiri barangan dan perkhidmatan menggunakan akal yang diberikan oleh Tuhan.

Penafian kebolehan setiap individu untuk berfikir sendiri seolah-olah menyatakan bahawa mereka itu semuanya bodoh kerana tidak boleh berfikir sendiri. Menyekat pilihan di pasaran seolah-olah menafikan anugerah akal pemberian Tuhan kepada manusia. Tidak ada penghinaan yang lebih besar terhadap maruah seseorang manusia selain itu.

Sesetengah pihak, terutamanya golongan sosialis, suka berhujah bahawa kerajaan perlu memastikan kesamarataan dalam masyarakat. Mereka ini salah dari dua sudut.

Pertama, sebagai seorang Muslim, saya percaya bahawa Tuhan telah menciptakan kita semuanya sama rata. Ini lebih penting daripada apa-apa usaha kerajaan untuk mewujudkan kesamarataan ekonomi, terutamanya jika usaha kerajaan tersebut membayangkan seolah-olah Allah tidak memberikan saya akal untuk membuat keputusan sendiri.

Kedua, kita boleh melihat sendiri betapa setiap kali kerajaan cuba mewujudkan kesamarataan ekonomi, hasilnya adalah lebih banyak ketidaksamarataan. Contohnya, lihat sahaja Dasar Ekonomi Baru di Malaysia. Setelah berpuluh-puluh tahun kerajaan cuba memaksa rakyat menjadi sama rata, adakah usaha tersebut berjaya?

Sebab itulah saya bingung apabila mendengar ahli-ahli politik berkata bahawa mereka mahu membetulkan kegagalan kerajaan melalui lebih banyak campur tangan kerajaan dalam kehidupan rakyat, kali ini dengan cara mewujudkan negara kebajikan. Adakah kita mahu jatuh dalam lubang yang sama buat kali kedua? Bolehkah menjadi libertarian?

Sebagai seorang Muslim, saya sering mengimbau sejarah umat Islam terdahulu dan bagaimana mereka membina tamadun yang masyhur tanpa banyak bergantung kepada sogokan kerajaan. Pada masa itu setiap manusia, baik pemerintah mahupun yang diperintah, tertakluk kepada undang-undang yang sama.

Setiap Muslim bertanggungjawab terhadap tindakan masing-masing. Kerajaan pada masa itu lebih banyak berperanan dalam bidang pertahanan dan keamanan. Umat Islam pada waktu itu merupakan pedagang yang berjaya dan mereka beroperasi dalam sistem pasaran global yang bebas. Rasulullah dan isteri baginda merupakan peniaga-peniaga yang berjaya. Ramai sahabat baginda yang turut menjadi kaya-raya hasil titik peluh mereka sendiri. Mereka semuanya beroperasi dalam sistem pasaran dunia yang terbuka.

Malahan, kerajaan pada zaman awal kegemilangan Islam tidak campur tangan dalam urusan pendidikan, kesihatan mahupun pengurusan masjid. Semuanya diuruskan sendiri oleh rakyat, biasanya melalui sistem wakaf. Hasilnya, masjid-masjid, pusat-pusat pengajian, dan juga banyak lagi perkhidmatan awam, dapat berfungsi dengan cemerlang demi kebaikan rakyat, tanpa sebarang gangguan politik.

Saya berkeyakinan bahawa itulah model terbaik untuk Malaysia. Falsafah libertarianisme mendukung kedaulatan undang-undang dan sistem pasaran bebas, menyeru agar kuasa pemerintah dihadkan, dan menuntut agar manusia dimerdekakan daripada penghambaan sesama manusia supaya tidak ada manusia lain yang boleh merompak kedudukan Tuhan dalam kehidupan kita. Sebagai seorang Muslim, bolehkah saya menentang semua ini?


oleh Wan Saiful Wan Jan
beliau ialah ketua pengarah kumpulan pemikir Malaysia Think Tank di London
Sumber Malaysiakini

2 ulasan:

Taminsari berkata...

Assalamualaikum..

Salam Maal Hijrah 1430.
Semuga apa yang kita lakukan akan mendapat keredaan dari Allah swt.
Insya Allah.

Salam perjuangan
Taminsari
belantan.blogspot.com

Taminsari berkata...

Ada laporan beberapa blog merumuskan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin lebih menyerlah berbanding Naib Presiden Pas, Husam Musa ketika sesi wacana Transformasi Politik Malaysia di Kota Bharu, baru-baru ini. Tetapi isu yang lebih besar ialah Husam dilihat telah terperangkap dengan asakan Khairy terutama isu pelaksanaan hukum hudud dan qisas.

Kenyataan Husam bahawa Pas akan tetap melaksanakan hukum tersebut telah menggoncang parti itu dan lebih panas ialah reaksi balas daripada sekutu Pakatan Rakyat iaitu DAP.

Ketika Pas mengambil strategi untuk berdiam berhubung isu hudud bagi menjaga sokongan bukan Melayu terutama selepas pilihanraya umum Mac lalu, Husam pula memberi bola tanggung.

Yang lebih menjadi persoalan ialah pendirian tidak konsisten Husam selepas kenyataannya itu apatah lagi setelah menerima bantahan DAP. Husam kemudian menyatakan, Pas hanya akan melaksanakan hudud setelah mendapat persetujuan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Nada Pas juga berubah. Menurut Ketua Dewan Ulama, Mohamed Daud, pelaksanaan hudud bukan menjadi keutamaan sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambilalih pemerintahan negara. Sedangkan Pas sebelum ini berjanji tidak akan berkompromi mengenainya.

Realitinya kini Pas sudah tidak memerlukan hudud sebagai modal politik. Berdasarkan pilihan raya umum lalu, Pas kelihatan lebih diterima kerana kurang memperkatakan di peringkat kempen nasional tentang hudud kecuali di Kelantan dan Terengganu. Untuk apa Pas mempertaruhkan isu hudud lagi jika tanpanya, ia boleh meraih sokongan lebih besar?

Jika dikaji, Pas sebenarnya tidak pernah menunjukkan kesungguhan untuk melaksanakan hudud biarpun telah lama memerintah Kelantan. Ini termasuk di negeri yang baru dipimpin parti itu di Kedah dan Perak selain kerajaan campuran Selangor. Pasti ada sahaja alasan diberi untuk mewajarkan ketidaksungguhan Pas.

Realitinya lagi, Pas sudah berubah dan terpaksa berubah. Pas semakin liberal dengan mencontohi pendekatan UMNO. Parti itu tidak lagi berfahaman ekstrem atau ultra sebagaimana keghairahan melabel kaum lain sebagai kafir dan menuduh UMNO murtad kerana bekerjasama dengan parti bukan Melayu.

Pemimpin Pas juga tidak lagi komited untuk menutup pusat arak, maksiat dan perjudian – tidak seperti yang dilaung-laungkan selama ini.

Kuasa yang sudah ada sebahagiannya pada Pas dan impian untuk mendapatkan lebih banyak kuasa, makin menggoda parti itu kepada pendekatan liberal. Jangan terkejut jika prinsip asal perjuangan penubuhan negara Islam akan berkubur berdasarkan percaturan politik terkini Pas.

Yang kelihatan lebih konsisten dan tidak pernah berganjak ialah DAP termasuk kemampuan parti itu untuk mencorakkan sedikit sebanyak perubahan Pas termasuk dalam isu pelaksanaan hudud. Tepuk dada tanya selera.