Ahad, November 30, 2008

'ADA AHLI PKR PERCAYA ANWAR BERBOHONG'


SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali, mengakui terdapat anggota parti itu yang percaya terhadap tuduhan bahawa penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berbohong tentang projek pembentukan kerajaan baru peringkat persekutuan 16 September lalu, menurut laporan sebuah laman berita tempatan semalam.
'Tidak ramai yang mempercayai propaganda (media arus perdana) ini. Malangnya saya lihat ada juga segelintir paling kecil anggota PKR, termasuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta Wanita PKR, yang termakan oleh propaganda murahan ini,' katanya, yang dipetik laman berita Malaysiakini, sewaktu merasmikan kongres dua sayap utama parti itu di Stadium Malawati, Shah Alam, pagi semalam.
Bagaimanapun, menurutnya, sebilangan besar rakyat Malaysia dan hampir semua anggota parti dalam Pakatan Rakyat (PR) tetap mengharapkan projek itu menjadi kenyataan setidak-tidaknya dalam pilihan raya umum akan datang.
'Saya tahu bahawa seluruh anggota parti dan rakyat yang mahukan perubahan yakin Anwar becakap benar tentang bilangan Anggota Parlimen (AP) yang hendak berpindah itu cukup,' katanya.
Pemimpin kedua dalam PKR itu berkata demikian ketika menjawab dakwaan bahawa Datuk Seri Anwar berbohong tentang bilangan AP Barisan Nasional (BN) yang hendak melompat kepada pakatan pembangkang bagi menumbang kerajaan pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Dr Syed Husin berkata dakwaan yang dibuat melalui media milik parti BN juga mendakwa projek itu gagal kerana Umno-BN serta pimpinan parti itu kuat dan bersatu padu.
Mengulas projek pengambilalihan kuasa itu, Dr Syed Husin menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan 'perpindahan kuasa belum dapat dilaksanakan'.
'Kita tahu ramai telah memberi surat pengakuan atau menyediakan surat sumpah akan berpindah. Namun, ada yang takut (mereka) mungkin disekat apabila diperlukan bangun dalam Parlimen untuk membuktikan sokongan kepada sebarang usul yang dikemukakan pihak Pakatan,' dedahnya dalam laporan Malaysiakini itu.
Dr Syed juga mendakwa AP berkenaan menerima tekanan dan ugutan yang kuat, antaranya daripada polis Cawangan Khas (SB) yang 'sepanjang masa bertunggu bertangga mengawasi segenap pergerakan mereka (ahli parlimen BN)'.
Selain itu, katanya, percubaan pemimpin PR hendak bertemu perdana menteri bagi meminta diadakan sidang khas untuk membincang dan memutuskan pelan perpindahan kuasa itu senantiasa ditolak.
Dr Syed Husin menjangkakan Datuk Seri Anwar dan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, akan menyentuh lanjut perkara itu dalam ucapan masing-masing di kongres tahunan kelima PKR selama dua hari yang bermula esok.

0 ulasan: